Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar. Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam
pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara
seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):
“Allah memberi hidayah melalui kamu
seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang
paling tinggi nilainya)” [Muttafaq ‘alaih)
Semenjak saat itu, setiap individu
daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang
murni
dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam
jiwa-jiwa mereka.
Sehingga ianya terserlah dalam
kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka.
Setiap individu di kalangan mereka
seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda
Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah:
“Dia diutuskan sebagai sebuah
umat”
Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau
bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.
‘Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi
mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di
Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.
‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan
mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah
dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun
setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan
tele-aduan umat.
Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili
sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah
Islamiah dan petunjuk al-Quran.
Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili
sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat.
Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.
Benarlah kata-kata Abu Bakar as-Siddiq yang
menyifatkan:
"La Yuhzamu Jayshun Fihi Al-Qa’Qa
Ibn Amr - Sawtu Al-Qa’Qa Fil Ma’arakati Ya’dulu Alfa
Rajulan"
“Takkan
terkalahkan tentera didalamnya ada al-Qa’qa ibn Amr, Suara Qa’qa’ di
medan perang menyamai seribu
pahlawan”.
Bukankah beliau mampu menyusun kembali
tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau
bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.
Sewaktu pembukaan Mesir oleh tentera
Islam di bawah Amr al-’As, Umar al-Khattab telah mengirim 4 ribu tentera sebagai
tambahan. Pasukan tambahan tentera ini disertai oleh
Zubair al-’Awwam, Miqdad bin Amr, Ubadah bin Shamit dan Muslimah bin Mukhlid,
yang dikatakan setiap orang bernilai lebih dari seribu orang. Saydina Umar
memberi amanat kepada Amr bin al-’As, "Kamu harus tahu bahawa kamu mempunyai 12
ribu tentera, dan 12 ribu tentera tidak akan dikalahkan disebabkan bilangan
mereka". Dan berlakulah pembukaan Mesir yang agung di dalam sejarah
Islam.
Setiap seorang daripada mereka hanyalah
seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah
sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu.
Sebagaimana yang dikatakan:
“Amal praktik seorang lelaki di
kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada
seorang lelaki”.
Mereka berusaha seolah-olah tiada
sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya.
Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan
menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya.
Kesungguhan inilah yang didapati oleh
‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau
berkata:
“Sungguh mengkagumkan aku, panglima
perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang
patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika
kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.
Lantaran ini, mereka telah merubah
sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik.
Tiada seorang pun di kalangan mereka yang
memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya. Mereka amat memahami sabda
Rasulullah s.a.w:
“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong
ayat”
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari]
Amal kerja dan sumbangan mereka tidak
terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar
kota Konstantinople dalam
usianya 80 tahun. Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya
kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah
didengarnya daripada Nabi s.a.w:
“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan
salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia”
[Diriwayatkan
oleh Ahmad]
Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam
masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata
kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam
segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat
binaan Islam akan berkata: Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam!
Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka
tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka
yang kufur kepada Allah.
“Dan orang-orang yang kafir
berseronok dan makan seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat mereka” [Muhammad: 12]
Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat
sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi
s.a.w:
“Orang mukmin kepada mukmin yang
lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama
lain”
[Muttafaq
‘alaih]
Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu
al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapi
kepakaran
mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan
yang lain untuk meninggikan binaan
Islam.
Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah,
bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat
yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili
umat mengembalikan binaannya yang agung?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan
manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan
material?
Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan
mereka daripada kejahilan?
Siapakah yang akan mewakili umat mempamer
keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembali
martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia?
Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman
serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?
Siapakah yang akan mewakili umat memecah
monopoli Yahudi dan US,
menyediakan barangan alternative kepada barangan mereka?
Siapa? Siapa?
Siapa?
Pastikan kita!!!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar